Anugerah Pentadbir Gemilang Universiti Awam Malaysia 2024 Dibuka 1 April

KUALA TERENGGANU, 29 MAC – Bagi menyambut Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia 20 Ogos depan, Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) telah mengadakan taklimat khas Anugerah Pentadbir Gemilang Universiti Awam Malaysia 2024 secara dalam talian.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Presiden MASTI, Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab dan dihadiri kira-kira 100 orang peserta ahli persatuan dari universiti awam yang terlibat.

Menurut Wan Mohd Wazir, taklimat adalah bertujuan untuk menjelaskan garis panduan dan penetapan syarat untuk ahli yang ingin menyertai anugerah mengikut kategori yang telah dipertandingkan.

Lebih menarik, tahun ini merupakan sambutan tahun ke-5, MASTI telah bersetuju untuk memilih Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Malaysia Perlis (POTENSI) sebagai tuan rumah. Sambutan bakal diadakan di Bandung, Indonesia pada 20 hingga 22 Ogos 2024 depan dengan tema “Keterlihatan dan Keterampilan Bakat Pemangkin Kecemerlangan Pentadbir Madani”. Terdapat empat segmen utama dalam penganjuran kali ini. Pertama, Konvensyen Pentadbir Universiti Awam, Majlis Anugerah Gemilang MASTI (MAGMA), Pameran Persatuan Pentadbir dan Program Tanggungjawab Sosial Antarabangsa  MASTI di Bandung, Indonesia.

“Sebanyak 15 anugerah Pentadbir Gemilang Universiti Awam Malaysia bakal dipertandingkan dengan penjenamaan yang baharu. Nilai hadiah juga ditingkatkan kepada RM15,000.00. Satu jumlah nilai yang besar dan saya berharap agar semua Pentadbir universiti awam mengambil peluang ini dengan menyertai pelbagai kategori anugerah yang dipertandingkan.” ujar Wan Mohd Wazir.

Beliau menambah, antara kategori anugerah yang dipertandingkan adalah termasuk anugerah pengiktirafan dalam pelbagai bidang termasuklah sukan, khidmat komuniti dan kesukarelawanan, penyelidikan sains & teknologi, penulisan, anugerah persatuan dan lain-lain lagi. Terdapat juga Anugerah Khas Kepimpinan Unggul, Anugerah Tokoh Pentadbir, Anugerah Pentadbir Unggul dan Anugerah Pentadbir Harapan yang bakal dipertandingkan.

Disediakan oleh :

Tengku Nuriah Tengku Abdul Rahman
Pembantu Media Presiden MASTI

© MASTI since 2001. All Rights Reserved.