Program CSR Telaga Tiub MASTI di Kampung Taburan, Kota Belud, Sabah

KOTA BELUD: Penduduk Kampung Taburan kini mula menarik nafas lega apabila permasalahan air yang membelenggu kehidupan harian penduduk selama ini dapat diselesaikan dengan adanya pembinaan Telaga Tiub di kampung berkenaan.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara Universiti Malaysia Sabah dengan kerjasama Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) dan Persatuan Pegawai dan Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (PPUMS), memberi keceriaan puas kepada warga penduduk berkenaan.

Pembantu Menteri Pertanian dan Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.6, Tempasuk, Datuk Musbah Haji Jamli berkata usaha murni inisiatif Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama MASTI dan PPUMS merupakan suatu tindakan murni membantu para penduduk kampung menikmati kemudahan asas di kampung ini.

“Dengan adanya telaga tiub ini, para penduduk kampung kini dapat menikmati sumber bekalan air tanpa perlu berulang alik ke sungai dengan jarak yang jauh dan memenatkan. “Melalui kerjasama ini bukan sahaja dapat menyelesaikan permasalahan penduduk setempat malah dapat menjalinkan hubungan silaturrahim antara penduduk, pemimpin serta rombongan dari UMS, MASTI dan PPUMS,” Katanya semasa merasmikan Telaga Tiub di kampung terbabit pada Sabtu.

“Keharmonian yang dikecapi sekarang ini adalah hasil ketinggian budi pekerti masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian kaum dan etnik di negeri ini. Katanya lagi, persefahaman antara kaum penting untuk terus dikekalkan demi kelangsungan hidup masyarakat yang hidup harmoni dan makmur bersama.

“Kerajaan sentiasa menerapkan nilai dan amalan hormat menghormati melalui pelbagai kaedah termasuk mempertahankan keindahan bahasa pertuturan sesuatu kaum yang penuh kesantunan. “Kadangkala perbezaan budaya ini sebenarnya mampu berlaku salah faham tetapi alhamdulilah di negara kita ianya tidak pernah berlaku kerana kita saling hormat menghormati berkerjasama antara satu sama yang lain.

Pada program tersebut pelbagai acara sampingan turut diadakan antaranya ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah SK Taburan yang melibatkan aspek pengurusan jenazah, pemeriksaan kesihatan dan acara sukan. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (akademik dan antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah, Prof D. Kamarudin D. Mudin; Presiden Majlis Pentadbir Universiti Awam (MASTI); Presiden Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional UMS dan wakil-wakil dari 20 universiti awam dari seluruh negara./PENERANGAN-

Baca selanjutnya di Sayang Sabah – https://www.sayangsabah.com/tiada-lagi-masalah-air-di-kampung-taburan/#.WM6sWlbAEGU.facebook

© MASTI since 2001. All Rights Reserved.